Friday, September 28, 2012

Kesayanganku


Bismillah,

Tatkala sedang duduk termenung sendirian dalam surau kampus,saya teringat keletah adik kembar yang berusia 7 tahun.Pagi hari raya kedua itu,si kembar kakak datang kepada saya lalu berkata :


“Kak long,tadi kakak letak 20 ringgit duit raya kakak dalam beg mak.Nanti kan mak nak pi naik kapal terbang.Nak pi Sabah hantar kak long.Lepas tu nak pi Mekah”.


Saya tersenyum.Hati terusik.Hampir menitis air mata dibuatnya.


Teringat pula si kembar adik,kadangkala saat saya perlu menjaga mereka berdua ketika mak atau abah tiada di rumah,maka saya harus bersedia menjawab soalan ini.


“Kak long,bila mak dengan abah nak balik??Kata pi sat (kejap) ja.”


Setiap kali mak dan abah ingin ke mana-mana,si kembar ini sering melambai di pintu dengan pesanan :


“Bawa kereta elok-elok“.


Mak dan Abah.

Dua orang insan yang  Allah hadiahkan kepada saya dan adik-adik.Hadiah yang tak ternilai harganya daripada Allah.Jasa mereka membesarkan kami adik-beradik terlalu besar.Andai dihitung segala jerih perih mereka,pengorbanan mereka semestinya tidak dapat dibalas dengan segunung harta sekalipun.
Letih mereka,penat mereka,sakit demam mereka tidak pernah dihiraukan demi kami. Namun,sedikit pun tak pernah saya dengar keluhan mereka sepanjang membesarkan kami.Semuanya dilakukan dengan lapang hati.Merekalah jua yang mendidik kami dengan penuh sabar.Kadang,ada tingkah kami yang mengusik perasaan mereka,tidak lama disimpan di hati.Itulah fitrah yang ada dalam hati mereka.Kasih sayang mereka terhadap anak-anak melimpah ruah.

Suatu ketika di kolej dahulu,saya bangun pagi dalam keadaan hati yang tidak keruan.Entah kenapa subuh hening itu saya sayu mengenangkan wajah mak dan abah.Kebetulan,ketika solat subuh,imam membacakan ayat 23 dan 24 dalam surah Al-Isra’.Basah sejadah dan telekung dengan air mata.Usai subuh itu,saya sambung dengan bacaan Yasin yang saya titipkan buat mak dan abah.Saya mohon agar Allah sentiasa memberikan kesihatan yang terbaik dan dipermudahkan segala urusan mereka.Alhamdulillah,hati kembali damai.



وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّـهُ وَبِالْوَلِدَيْنِ إِحْسَـناً إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيمًا(23) وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًا 

23. And your Lord has Qada (decreed) that you worship none but Him. And that you be dutiful to your parents. If one of them or both of them attain old age in your life, say not to them a word of disrespect, nor reprimand them but address them in terms of honor.
24. And lower unto them the wing of submission and humility through mercy, and say: "My Lord! Bestow on them Your mercy as they did bring me up when I was young.''



Mak dan abah.Memandang wajah mereka adalah suatu ketenangan yang mendamaikan.Saat kita perolehi kejayaan,merekalah orang yang paling gembira.Ada kala kita kegagalan,mereka tidak pernah membiarkan kita terus kecewa.Kata-kata azimat mereka kembali membakar semangat untuk terus melangkah.

Pernah saya luahkan kerisauan dan ketakutan tatkala menyedari fakulti saya majoritinya adalah non-muslim dan saya adalah satu-satunya pelajar muslimah yang bertudung labuh di situ.Saat itu abah memberikan kata-kata semangat buat saya.Kata abah,


“Tak apa,yang penting kita ada Allah.Abah yakin along pasti kuat dengan izin Allah.Teruskan mujahadah menuju mardhatillah”.


Dan dengan kata-kata itu saya masih teguh  berada di sini meneruskan cita-cita.Ketika minggu orientasi,saat kesihatan saya sedikit terganggu dek kerana aktiviti-aktiviti yang memerlukan ketahanan badan yang tinggi,mak lah orang yang paling risau.Seharian berpesan kepada saya supaya mengambil ubat saya,menelefon saya bertanyakan keadaan kesihatan.Allah,rahmatilah kehidupan mereka.

Usai lafaz ikrar pelajar ketika penutup orientasi di universiti,air mata ini mengalir lagi.Mengenangkan diri yang berjaya bergelar seorang mahasiswi.Dan ini semua adalah hasil titik peluh dua orang insan tersebut dengan izin Allah.

Mak dan Abah.

Moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati umur kalian.Anakmu ini berjanji tidak akan mengecewakan kalian.Anakmu ini tahu,kalian tidak pernah putus menitipkan doa buat diri ini.InsyaAllah mak,abah..anakmu ini akan terus melangkah.Sebagai seorang mujahidah.Demi Allah,demi Islam,demi Rasulullah.Doakan anakmu ini tabah dan kuat menghadapi dugaan dalam kehidupan.

Justeru,saat diri masih diberi kesempatan untuk menatap wajah mereka,mendengar suara mereka,berbakti buat mereka,berusahalah sehabis mungkin untuk membahagiakan mereka.Bukan wang ringgit yang mereka harapkan,namun cukup hanya luangan sedikit masa bersama mereka.Kerana dengan luangan masa itu,mereka mampu mengimbau kembali saat mereka membelai kita dan mendakap kita ketika kecil dahulu.Dan kini,anak mereka itu sudah menjadi dewasa dan berjaya.Ianya adalah satu kepuasan buat mereka.Itu sudah cukup membahagiakan dan menggembirakan hati mereka.   


Walau siapa pun kita nanti,setinggi mana jawatan kita ketika kelak,sebesar mana gaji kita akan datang,jangan pernah lupa wajah-wajah bersih dua orang insan ini.Kejayaan kita pada masa kini dan akan datang semuanya bermula dengan penat lelah mereka,jerih perih mereka memerah keringat demi membesarkan kita,mendidik kita sehingga mampu mencapai tahap yang tertinggi.



MOGA ALLAH SENTIASA SAYANG KEPADA KALIAN,MAK DAN ABAH.   


1 comment:

  1. apabila diri ini sudah brgelar mahasiswa/i,bermulalah segala macam cabaran dn dugaan yg kita tidak pernah hadapi sebelum ini,tetapkan pendirian dn sentiasa brpegang teguh pada jalanNya agar kita tidak tersesat dn terjerumus dalam kancah kebinasaan

    ReplyDelete

 

Template by BloggerCandy.com